China mencatatkan rekod panggil balik kenderaan terbesar pernah dilakukan setakat ini apabila Tesla dan 8 pengeluar EV memanggil balik 4.3 juta kenderaan di China pada minggu lepas.
Selain Tesla, Xiaomi, BYD, Geely, Leapmotor, Xpeng, Zeekr dan Lynk & Co antara jenama yang terlibat dalam pemanggilan semula itu.
Difahamkan, Tesla menjadi pengeluar paling banyak terjejas apabila hampir 2.98 juta unit Model 3, Model Y, Model S dan Model X buatan China serta model import akan dipanggil balik bermula 25 September.
Tindakan ini diambil selepas timbul kebimbangan keselamatan pintu sukar dibuka sewaktu kemalangan kecemasan, susulan beberapa kes penumpang terperangkap dalam kenderaan terbakar.
Sebelum ini, pihak berkuasa keselamatan China mengetatkan kawalan terhadap industri kenderaan elektrik (EV) berikutan persaingan sengit harga yang menyaksikan pelbagai teknologi baharu diperkenalkan secara mendadak.
Sebanyak 4.3 juta unit kenderaan kini perlu menjalani pembaikan keselamatan. Langkah ini merangkumi kemaskini perisian Over-The-Air (OTA), pemasangan pelekat amaran, dan penambahbaikan penanda pada pemegang pintu.
Isu Pemegang Pintu Tersembunyi Cetus Kebimbangan Keselamatan
Kebanyakan tindakan pemanggilan balik ini tertumpu kepada pemegang pintu mekanikal kecemasan yang sukar ditemui atau dikendalikan ketika kemalangan.
Isu ini menjadi kritikal selepas beberapa insiden meragut nyawa, termasuk kes pemandu Xiaomi SU7 yang terkorban akibat pintu kenderaan gagal dibuka dari luar oleh orang awam semasa kebakaran.
China Bakal Haramkan Pemegang Pintu Tersembunyi Menjelang 2027
Sebagai tindakan susulan, China bakal menjadi negara pertama yang mengharamkan reka bentuk pemegang pintu tersembunyi (concealed door handles) bermula tahun 2027.
Reka bentuk yang dipopularkan oleh Tesla ini telah digunapakai secara meluas oleh pembuat EV tempatan. Walaupun sesetengah syarikat seperti Leapmotor menyatakan pembaikan hanya melibatkan kemaskini perisian dan pelekat amaran, langkah ketat ini membuktikan ketegasan China dalam meletakkan piawaian keselamatan pengguna di paras tertinggi.
Sumber: Reuters
