Percaya atau tidak, nilai kerugian banjir Selangor 2025 meningkat mendadak kepada RM52.9 juta berbanding RM22.6 juta pada tahun sebelumnya.
Perkara ini dimaklumkan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan (DOSM).
Merujuk kepada Statistik Nilai Kerugian Banjir Negeri Selangor 2024 dan 2025 oleh DOSM Selangor, lonjakan kos kerugian ini disumbangkan oleh kemusnahan harta benda awam dan persendirian.
Sektor infrastruktur mencatatkan impak kewangan paling tinggi dengan nilai mencecah RM26.6 juta. Ini diikuti oleh kerosakan kediaman penduduk yang merekodkan kerugian sebanyak RM15.3 juta.
Bagi sektor ekonomi dan aset persendirian pula, pecahan kerugian adalah seperti berikut:
Pertanian: RM9.6 juta
Kenderaan: RM4 juta
Premis perniagaan: RM1 juta
Walaupun kerugian banjir Selangor 2025 menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda, trend nasional mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. Menurut Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2025, jumlah kerugian keseluruhan negara adalah sebanyak RM636.9 juta berbanding RM933.4 juta pada tahun 2024.
Bagaimanapun, bencana ini masih memberi kesan menyeluruh kepada semua negeri di Malaysia. Terengganu kekal mencatatkan nilai kerugian tertinggi di peringkat nasional berjumlah RM89.2 juta, diikuti oleh Kelantan (RM88.5 juta) dan Johor (RM72.1 juta).
Statistik terperinci ini didedahkan oleh Mohd Najwan bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga). Beliau sebelum itu meminta kerajaan negeri menyatakan anggaran kerugian ekonomi tahunan akibat bencana seperti banjir dan kebakaran.
Mengulas lanjut mengenai tindakan susulan, kerajaan negeri komited untuk menambah baik kualiti penyampaian bantuan kepada rakyat yang terjejas. Perhatian khusus akan diberikan bagi menangani masalah mangsa kejadian banjir berulang menerusi perbincangan bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).
