Proton e.MAS mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) nombor satu negara apabila menguasai lebih 60% pasaran pendaftaran domestik dengan rekod 27,403 unit dari Januari hingga Ogos 2026.
Pencapaian luar biasa ini merangkumi penguasaan lebih 60% daripada jumlah keseluruhan pendaftaran EV di Malaysia, disokong oleh prestasi cemerlang barisan model seperti Proton e.MAS 5, e.MAS 7, dan e.MAS 7 PHEV.
| kategori Pencapaian | Butiran / Model | Jumlah Unit |
| Pencapaian Bulanan Terbaharu | Pendaftaran dalam tempoh sebulan (kali pertama) | > 6,000 unit |
| Jumlah Pendaftaran Keseluruhan (YTD) | Keseluruhan (Domestik & Eksport) | 27,856 unit |
| Pecahan Mengikut Model | Proton e.MAS 5 | 18,014 unit |
| Proton e.MAS 7 (Domestik & Eksport) | 4,278 unit | |
| Proton e.MAS 7 PHEV (Pasaran Domestik) | 5,562 unit | |
| Bahagian Pasaran (Market Share) | xEV Malaysia | 32.5% |
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, kejayaan ini membuktikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap peralihan kepada mobiliti elektrik semakin meningkat.
"Untuk mencapai lebih 60% bahagian pasaran merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna buat Proton e.MAS.
"Namun, bagi kami, yang lebih penting adalah dengan melihat semakin ramai rakyat Malaysia yakin untuk beralih kepada mobiliti elektrik. Sebagai jenama EV nasional, peranan kami bukan sekadar untuk menambah lebih banyak EV di jalan raya, tetapi juga memastikan rakyat Malaysia mempunyai ekosistem, kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan untuk menikmati pengalaman EV dengan lebih mudah," katanya.
Seiring peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, PRO-NET memperkukuh sokongan pelanggan menerusi 60 pengedar, 46 pusat servis, dan 10 pusat Badan dan Cat di seluruh negara.
Pengguna kini lebih mudah mengakses kemudahan pengecasan awam menerusi Aplikasi Proton e.MAS yang menyokong lebih 4,700 titik pengecasan di pelbagai lokasi strategik.
Bagi pengguna kediaman bertingkat, kerjasama dengan syarikat pengecasan seperti ChargeSini dan JomCharge membolehkan pemilik menikmati kadar khas RM0.63/kWh di lebih 500 bangunan bertingkat sehingga akhir 2026.
Kesemua model Proton e.MAS kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjung Malim, bagi memperkukuh rantaian bekalan domestik.
Usaha ini turut merangkumi pembangunan bakat tempatan, termasuk pensijilan EV Tahap 2 melalui kerjasama TVET-MARA untuk juruteknik bertauliah.
Dengan ketersediaan alat ganti tulen mencecah 98.8%, Proton e.MAS komited memastikan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik yang lebih lancar dan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
