Ferrari secara rasmi mendedahkan dua jentera berprestasi tinggi baharu, iaitu Ferrari 296 Challenge Stradale untuk kegunaan jalan raya dan 296 Challenge Evo bagi perlumbaan musim 2027 sempena acara Ferrari Finali Mondiali 2026 di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol, bagi mempamerkan pemindahan teknologi terus daripada litar lumba ke jalan raya.
Pembangunan serentak kedua-dua model ini menyerlahkan hubungan simbiolik antara divisyen perlumbaan dan kereta pengeluaran jenama Prancing Horse.
Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin V6 turbo berkembar 120° berkapasiti 2,992 cc dalam konfigurasi pembakaran dalaman sepenuhnya daripada 296 Speciale. Ketiadaan sistem hibrid berjaya mengehadkan berat serta kerumitan mekanikal, sekali gus memberikan sambungan langsung antara pendikit dan roda belakang.
Pada Ferrari 296 Challenge Stradale, enjin ini menjana kuasa 670 hp pada 8,000 rpm dan dipadankan dengan transmisi F1 klac berkembar lapan kelajuan. Sementara itu, versi litar 296 Challenge Evo menghamburkan 700 hp pada 7,500 rpm menerusi kotak gear F1 tujuh kelajuan.
Fokus utama kejuruteraan kedua-dua jentera ini tertumpu kepada pengurangan berat dan kecekapan aerodinamik. Kedua-duanya berkongsi berat kering hanya 1,330 kg, iaitu 140 kg lebih ringan berbanding model 296 GTB.
Bagi 296 Challenge Stradale, bahagian badannya dilucutkan daripada elemen hiasan tidak perlu untuk menonjolkan fungsi teknikal. Hasil gabungan sayap belakang tetap, splitter, dan bahagian bawah badan tertutup sepenuhnya membolehkannya menjana 617 kg daya mendap (downforce) pada kelajuan 250 km/j — meningkat 72% berbanding 296 GTB.
Direka untuk membuat penampilan sulung pada musim perlumbaan 2027, 296 Challenge Evo menawarkan peningkatan daya mendap maksimum sebanyak 12% atau tambahan 100 kg pada kelajuan 250 km/j berbanding model sebelumnya. Ia turut memperkenalkan konfigurasi Low Drag yang mengurangkan seretan angin sebanyak 4% untuk litar berkelajuan tinggi.
Dalam ujian perbandingan di Litar Mugello, jentera ini terbukti 0.8 saat lebih pantas sepusingan serta mengurangkan kehausan tayar. Peningkatan ini amat kritikal menjelang pengenalan format perlumbaan Ketahanan (Endurance) 40 minit yang bakal bermula di Mugello pada musim 2027.
Untuk kegunaan jalan raya, 296 Challenge Stradale dilengkapi sistem brek ABS Evo yang berfungsi dalam setiap tetapan Manettino bersama tayar Pirelli P Zero Trofeo RS. Sementara itu, 296 Challenge Evo pula menerima kemas kini kawalan cengkaman, pembeza elektronik (e-diff), serta kluster instrumen baharu yang memudahkan bacaan data telemetri pemandu.
