Kementerian Kerja Raya (KKR) kini meneliti cadangan pembinaan lebuh raya bertol baharu daripada pihak swasta bagi mengatasi isu kesesakan kritikal di Lebuhraya Persekutuan, kata Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Cadangan projek berkenaan membabitkan sebahagian serta sambungan daripada jajaran laluan sedia ada. Menurut beliau, perincian penuh sedang dijalankan sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Kesesakan luar biasa di laluan utama Lembah Klang ini didorong oleh pertumbuhan pesat kawasan perumahan, perindustrian, dan komersial di sepanjang koridor tersebut.
Berdasarkan bancian trafik 2025 di stesen berhampiran Pejabat KEMAS Selangor, tahap perkhidmatan jalan Lebuhraya Persekutuan FT2 kini berada pada paras Level of Service (LOS) F. Tahap ini mengesahkan aliran trafik berada dalam keadaan sangat sesak.
"Buat masa ini, kementerian sudah menerima beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta, yang mana cadangan projek berkenaan membabitkan sebahagian/sambungan daripada jajaran Lebuhraya Persekutuan.
"Cadangan ini akan diperincikan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat," katanya.
Mengulas mengenai cadangan pembinaan laluan bertingkat atau pelebaran jalan, KKR mengesahkan tiada perancangan sedemikian akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Keputusan itu dibuat memandangkan projek pelebaran di koridor yang sudah matang melibatkan implikasi kewangan yang terlalu tinggi. Kos pengambilan balik tanah di kawasan padat serta pengambilan aset sedia ada menjadi kekangan utama.
