Chery Malaysia rasmi akan melancarkan Chery Tiggo Cross Sport Edition pagi ini untuk pasaran tempatan. Ia hadir dengan penampilan lebih agresif berinspirasikan semangat kesukanan, lengkap kit badan aerodinamik dan ditawarkan dalam varian Turbo eksklusif bagi memenuhi permintaan peminat SUV tempatan.
Model ini dibangunkan khusus dengan mengambil inspirasi daripada semangat kesukanan yang menjadi identiti teras jenama tersebut.
Sebelum ini, Chery aktif menyokong pelbagai acara sukan berprestij di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ini termasuklah menjadi rakan mobiliti rasmi KL Women Running Festival serta rakan automotif kejohanan e-sukan popular, Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia Musim 18.
Mengangkat tema kesukanan yang sama, Chery Tiggo Cross Sport Edition membawakan penampilan yang jauh lebih dinamik dan berkarakter. Ia diserikan dengan penambahan kit badan sporty yang merangkumi spoiler lip aerodinamik pada bahagian hadapan serta belakang kenderaan.
Sentuhan fizikal ini bukan sahaja menaikkan imej agresif SUV berkenaan, malah memberikan identiti visual yang lebih menonjol berbanding versi standard yang berada di pasaran.
Pada fasa pelancaran awal ini, Chery Tiggo Cross Sport Edition akan ditawarkan secara eksklusif menerusi varian Turbo. Walau bagaimanapun, pihak Chery memaklumkan bahawa spesifikasi penuh dan harga rasmi akan diumumkan sepenuhnya hari ini.
