Sebuah supercar Lamborghini Huracan bernilai lebih RM1 juta antara 301 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam Ops Luxury semalam. Tindakan tegas itu diambil selepas pemiliknya dikesan gagal memperbaharui cukai jalan berjumlah RM35,764 sejak enam bulan lalu.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, tumpuan Ops Luxury kali ini membabitkan kesalahan tunggakan cukai jalan yang serius sehingga berbulan-bulan.
Hasil semakan pihak berkuasa mendapati supercar berkenaan tidak memperbaharui cukai jalan berjumlah RM35,764.10 sejak enam bulan yang lalu.
Antara alasan biasa yang diberikan pemilik kenderaan mewah termasuk terlupa, terlepas pandang, dan disebab kekeliruan urusan oleh ejen yang dilantik.
JPJ menegaskan alasan terlepas pandang sehingga setahun tidak lagi boleh diterima kerana berisiko tinggi kepada pengguna jalan raya lain jika berlaku kemalangan.
Selain supercar terbabit, operasi tersebut turut menyita pelbagai model mewah lain seperti Ford Mustang, Jeep Wrangler Sahara, Mini Countryman, dan Toyota Alphard.
Siasatan mendapati kenderaan-kenderaan yang disita berkenaan berdaftar atas nama ahli perniagaan berpengaruh, termasuk individu bergelar Datuk dan Datuk Seri.
Pihak JPJ mengingatkan semua pemilik kenderaan tanpa mengira status sosioekonomi supaya sentiasa memastikan cukai jalan dan insurans kenderaan diperbaharui mengikut undang-undang yang ditetapkan.
