Tiga pelancong lelaki warga Malaysia didenda berjumlah 12,000 Baht (anggaran RM1,447) oleh polis Thailand selepas mereka didapati memandu secara menghalang lalu lintas dan mengubah suai ekzos kenderaan secara haram demi merakam kandungan media sosial.
Tindakan kumpulan lelaki berusia antara 26 hingga 30 tahun itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah mencetuskan kemarahan penduduk tempatan.
Siasatan mendapati tiga buah kereta bernombor pendaftaran Malaysia berwarna biru, merah, dan putih bergerak dalam satu barisan bersama sebuah kereta hitam milik warga tempatan.
Pemandu kereta hitam di bahagian hadapan dipercayai bertindak merakam video untuk kandungan media sosial. Kumpulan kenderaan terbabit kemudian melakukan beberapa kali pusingan U dengan bunyi ekzos yang kuat sehingga menghalang aliran trafik.
Pihak polis segera mengarahkan kesemua suspek hadir ke balai polis selepas menerima aduan orang ramai serta penularan rakaman video insiden tersebut di media sosial.
Menurut Prut, kumpulan pelancong berkenaan berkemungkinan tidak menyedari fperaturan jalan raya yang dikuatkuasakan di Thailand ketika melakukan aksi tersebut.
Kesemua individu yang terlibat telah mengaku bersalah atas kesalahan masing-masing. Setiap seorang daripada mereka dikenakan denda sebanyak 4,000 Baht (sekitar RM482) sebelum dibebaskan pada hari yang sama.
Susulan insiden pelancong Malaysia didenda di Hat Yai ini, pihak berkuasa tempatan tampil memberikan peringatan tegas kepada pelawat asing.
Prut menasihatkan semua pelancong agar sentiasa memahami, menghormati, dan mematuhi undang-undang jalan raya Thailand sepanjang berada di negara itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang merugikan.
