Sebanyak 20 isi rumah masyarakat Orang Asli suku Semai di Kampung Saweh, Pos Sinderut, Pahang kini menikmati bekalan elektrik 24 jam buat pertama kalinya menerusi inisiatif pemasangan sistem penyimpanan tenaga solar menggunakan bateri EV terpakai BMW hasil kerjasama dengan Universiti Malaya (UM).
Pelaksanaan di Kampung Saweh ini merupakan projek kedua di lapangan menerusi kerjasama penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya.
Projek ini dibangunkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD dari UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).
Sistem ini menggunakan 30 modul bateri EV terpakai BMW yang digabungkan bersama panel solar terpakai. Pendekatan ini mengetengahkan prinsip ekonomi kitaran yang mampan untuk memberi 'hayat kedua' kepada komponen kenderaan elektrik.
Sebelum sistem ini dipasang, penduduk kampung terpaksa bergantung pada generator petrol dan diesel. Kos operasi harian mencecah RM10 sehari untuk setiap isi rumah, dengan tempoh penggunaan terhad sekitar empat jam setiap malam.
Kini, penduduk dapat menikmati bekalan elektrik berterusan sepanjang hari. Kos operasinya jauh lebih rendah serta bebas daripada pelepasan emisi karbon yang mencemarkan alam sekitar.
Inisiatif di Pahang ini selari dengan pembentangan pendekatan Circular Equity Dividend oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pada Sidang Kemuncak COP31 di Türkiye. Model ini membuktikan bagaimana komponen kenderaan elektrik terpakai mampu menyelesaikan masalah tenaga luar bandar.
Berdasarkan reka bentuk semasa, sistem berkapasiti 8kW ini dijangka mampu beroperasi sekurang-kurangnya selama lima tahun. Jangka hayat ini jauh lebih baik berbanding bateri asid plumbum konvensional.
Fokus utama sistem ini adalah untuk menyediakan kemudahan penyejukan makanan yang amat diperlukan penduduk. Sebelum ini, hasil buruan atau makanan mudah rosak perlu dimasak segera bagi mengelak pembaziran.
Kini, penduduk mempunyai peluang menyimpan makanan dengan lebih baik selain menggunakan peralatan elektrik asas seperti televisyen. Projek ini turut dibiayai bersama oleh UMCares, Universiti Ritsumeikan Jepun, dan Tech Inspiration Systems Sdn. Bhd.
