menu-icon
caricarzlogo
caricarzlogo
✕

Buatan Malaysia, Tetapi Sejauh Manakah Komponen EV Sebenarnya Buatan Malaysia?

EV
Suhana Veru | 03-11-2026 10:45 AM



Kenderaan elektrik (EV) yang dipasang di Malaysia tidak semestinya dibina menggunakan majoriti komponen buatan tempatan.

Malah, EV yang dipasang di dalam negara (CKD) dilaporkan hanya mempunyai kadar penyertaan tempatan sekitar 20% hingga 30%, berbanding sehingga 70% bagi kenderaan petrol dan diesel jenama luar negara, lapor The Edge Malaysia pada Mac 2026.

Ketika pembuat EV dari China semakin merancakkan penguasaan di Asia Tenggara, satu siasatan baharu oleh South China Morning Post (SCMP) membangkitkan kebimbangan sama ada pembekal komponen automotif Malaysia benar-benar mendapat manfaat daripada kepesatan trend ini.

Jadi, sejauh manakah komponen tempatan yang sebenarnya ada pada sebuah EV yang dipasang di Malaysia?

Dipasang Tempatan Bukan Bermakna Buatan Tempatan


Jadi, apa yang mentakrifkan sesebuah EV itu sebagai 'Buatan Malaysia'?

Kenderaan completely knocked-down (CKD) dipasang di Malaysia menggunakan komponen yang mungkin diimport atau diperoleh secara tempatan. Kandungan tempatan merujuk kepada nilai tambah Malaysia dalam proses pengeluarannya, walaupun pengiraannya bergantung pada kerangka kerja yang digunapakai.

Perbezaan yang besar ini sebahagian besarnya berpunca daripada pek bateri dan motor elektrik, yang secara keseluruhannya menyumbang lebih separuh daripada jumlah kos sesebuah EV, lapor The Edge

.Semasa laporan itu diterbitkan, kedua-dua komponen berkenaan masih belum dikilangkan atau dipasang secara tempatan untuk pengeluaran EV domestik.

Kesimpulannya: Peningkatan jumlah EV yang keluar dari garisan pemasangan di Malaysia tidak bermakna lebih banyak komponen buatan tempatan digunakan di dalamnya.

Kenapa Pembekal Tempatan Masih Ketinggalan?

Malaysia sememangnya sudah mempunyai rangkaian pembekal automotif yang kukuh. Walau bagaimanapun, peralihan kepada EV membawa keperluan teknikal dan rantaian bekalan baharu.

Menurut siasatan SCMP pada November, pengeluar EV dari China yang berkembang ke Asia Tenggara selalunya membawa masuk pembekal komponen sedia ada mereka, sekali gus menyukarkan syarikat tempatan yang lebih kecil untuk bersaing bagi mendapatkan kontrak.

Menariknya, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kepakaran pembuatan yang berkaitan. Misalnya, pengeluaran sel bateri oleh Samsung SDI, pembuatan kerajang kuprum oleh SK Nexilis, serta industri semikonduktor negara yang sememangnya matang.

Bagaimanapun, sebahagian besar hasil pengeluaran ini adalah untuk pasaran eksport dan bukannya untuk EV yang dipasang di dalam negara. Oleh itu, peluang yang ada bukan sekadar membina kilang baharu, tetapi juga menghubungkan pengilang sedia ada di Malaysia dengan industri pengeluaran automotif tempatan.


Kerjasama BYD dan Inokom: Pemasangan Tempatan, Bagaimana Pula Komponennya?


Pada Oktober 2026, BYD menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan anak syarikat Sime Motors, Inokom Corporation, untuk operasi pemasangan CKD di Kulim, Kedah—sekali gus beralih daripada rancangan asal mereka di Tanjung Malim.

Seperti yang dilaporkan Carz sebelum ini, kerjasama ini memberi akses kepada BYD untuk memanfaatkan operasi pemasangan tempatan sedia ada. Bagaimanapun, ia masih belum menetapkan berapa banyak kandungan buatan Malaysia yang bakal digunakan dalam model EV CKD jenama itu kelak.

Langkah Malaysia Merapatkan Jurang Kandungan Tempatan EV


The Edge melaporkan bahawa mekanisme insentif tersuai (customised incentive mechanism atau NCM) baharu Malaysia bertujuan untuk menggalakkan kadar penyertaan tempatan yang lebih mendalam, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta kerjasama yang lebih kukuh dengan pembekal tempatan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut mengetengahkan cabaran dari segi kos, kualiti, dan teknologi, selain kebimbangan mengenai pass-through localisation—iaitu situasi di mana komponen import hanya melalui pemprosesan minimum di peringkat tempatan tanpa penambahan nilai yang signifikan.

Namun, terdapat usaha pembangunan pembekal yang memberi harapan. SCMP melaporkan bahawa inisiatif pada Mei 2025 yang melibatkan MIDA dan Chery telah menemukan pembekal komponen serta teknologi tempatan, yang seterusnya dibuat menerusi beberapa perjanjiian komersial.

Usaha-usaha ini membuktikan bahawa penyertaan syarikat tempatan boleh ditingkatkan, walaupun pembinaan rantaian bekalan EV yang berdaya saing memerlukan pelaburan dan kerjasama berterusan.


Adakah Pembekal Komponen Automotif Malaysia Masih Boleh Meraih Peluang?

Ya, tetapi bentuk peluangnya mungkin berbeza daripada pembuatan automotif konvensional. Pemerhati industri yang dipetik oleh SCMP mengenalpasti beberapa laluan berpotensi.

Bagi perniagaan skala kecil, akses kepada latihan, pembiayaan, dan rakan kongsi teknikal bakal menentukan sejauh mana kejayaan mereka untuk beradaptasi dengan era elektrifikasi ini.

Persoalan Lebih Besar Buat Industri EV Malaysia

Pertumbuhan pemasangan EV di Malaysia sememangnya membawa pelaburan dan peluang pembuatan baharu, tetapi nilai jangka panjangnya bergantung pada sejauh mana perniagaan tempatan dapat terlibat secara mendalam dalam rantaian bekalan tersebut.

Persoalan sebenar bukan sekadar berapa banyak unit EV yang mampu dipasang di Malaysia, tetapi sejauh mana nilai tempatan yang benar-benar disuntik ke dalam setiap kenderaan tersebut.


Subscribe to Newsletter
Car Recommended For You
Is your income hurting your decision to purchase a new car?
Worry not, Elysia, our Search Hero, will provide you with solutions for finding your dream car within your given income range!
Income Range
Monthly Installment (5 Years)
Below RM 2,000
78 Models
RM 200 - RM 400 / Month
RM 2,000 - RM 2,500
131 Models
RM 300 - RM 500 / Month
RM 2,500 - RM 3,000
165 Models
RM 400 - RM 600 / Month
RM 3,000 - RM 3,500
187 Models
RM 500 - RM 700 / Month
RM 3,500 - RM 4,000
208 Models
RM 600 - RM 800 / Month
RM 4,000 - RM 4,500
229 Models
RM 700 - RM 900 / Month
RM 4,500 - RM 5,000
233 Models
RM 800 - RM 1000 / Month
Above RM 5,000
839 Models
RM 1000+ / Month
JPJ Running Numbers
KUALA LUMPUR
VRX4065
SELANGOR
BSU8520
JOHOR
JG9543J
PULAU PINANG
PSH2428
PERAK
APM7417
PAHANG
CFJ3475
KEDAH
KGJ7239
NEGERI SEMBILAN
NEM5167
KOTA KINABALU
SJV386
KUCHING
QAB9503P
Last Updated 04-11-2026 (WEDNESDAY) 12:00 am
Fuel Price
Petrol
RON 95
RM 3.97
+ 1.38
RON 97
RM 4.90
+ 1.75
RON 100
RM 7.20
+ 2.20
VPR
RM 8.23
+ 2.00
Diesel
EURO 5 B10
RM 5.12
+ 2.08
EURO 5 B7
RM 5.32
+ 2.08
Last Updated Apr 30, 2026
playstore logo playstore logo playstore logo