Tesla Cybercab akhirnya sudah tiba di Malaysia. Ia ditayangkan kepada umum sama seperti siri jelajah Cybertruck pada tahun 2024.
Setakat ini, Tesla belum mempunyai perancangan untuk mengendalikan perkhidmatan roboteksi autonomi di Malaysia. Perkhidmatan tempahan pemanduan Cybercab kini masih terhad di bandar-bandar terpilih di Amerika Syarikat seperti Austin, Texas.
Siri pertunjukan Tesla Cybercab di Malaysia bakal berhenti di empat pusat membeli-belah utama mengikut tarikh berikut:
29 Oct – 1 Nov: Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur
3 – 9 Nov: Sunway Square Mall, Selangor
10 – 11 Nov: Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur
13 – 22 Nov: Gurney Plaza, Pulau Pinang
Pengunjung yang mendaftar sesi taklimat 15 minit atau membuat pandu uji Model 3 dan Model Y berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif Cybercab. Pendaftaran boleh dibuat secara terus di portal rasmi Tesla Malaysia.
Cybercab menampilkan rekaan kupe liftback 2 pintu dengan pintu jenis butterfly yang dibuka ke atas. Bahagian kabinnya sangat minimalis tanpa stereng, pedal brek, mahupun pedal minyak.
Semua kawalan kenderaan dan hiburan diakses menerusi skrin sentuh 22 inci di bahagian tengah. But belakangnya pula bersaiz 572L, cukup luas untuk memuatkan dua beg pakaian saiz check-in.
Dari segi prestasi, Cybercab dikuasakan oleh motor pacuan roda hadapan 163 kW (219 hp) dengan jarak pemanduan realistik sekitar 472 km. Pengeluaran komersial bagi pasaran umum dijangka bermula pada tahun 2027 dengan sasaran harga bawah USD30,000 (~RM122,658).
