Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perletakan jawatan itu hanya membabitkan beliau dan tidak melibatkan ahli DAP lain.
“Namun, perletakan jawatan ini hanya membabitkan saya sebagai anggota Jemaah Menteri.
“Ahli-ahli Jemaah Menteri yang lain yang mewakili DAP termasuk menteri dan timbalan menteri serta jawatan-jawatan lain kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu negara hari ini.
Tindakan beliau itu susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anthony menambah, beliau memerlukan sedikit masa sebelum mengemukakan surat kepada Anwar disebabkan perlu menyelesaikan beberapa urusan kementerian.
“Saya memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa urusan tertunggak kementerian.
“Operasi Kementerian Pengangkutan akan berjalan seperti biasa kerana perancangan dan projek yang telah dilaksanakan akan diteruskan walaupun berlaku pertukaran menteri,” katanya.
Semalam, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
