GWM Malaysia sudah membuka tempahan untuk GWM WEY G9 Hi4 HEV, iaitu varian hibrid baharu bagi MPV mewah terlarisnya, menjelang pengenalan pasaran tidak lama lagi.
Menampilkan teknologi pacuan empat roda Hi4 dan jarak pemanduan tanpa perlu dicaj luaran, model ini menawarkan alternatif menarik buat rakyat Malaysia yang mengutamakan keselesaan kelas pertama dan penjimatan bahan api.
WEY G9 HEV SEKILAS PANDANG | |
Enjin | 2.0L cas hibrid (turbo) |
Sistem hibrid | Hi4 HEV |
Transmisi | DHT 4-kelajuan |
Output gabungan | 358 PS / 782 Nm |
Bateri | 1.67 kWh |
Pengecasan luaran | Tidak diperlukan |
Tempahan | Kini dibuka |
Harga Malaysia | Akan diumumkan |
Berikutan sambutan hangat terhadap model terdahulu, GWM Malaysia kini membawakan satu lagi pilihan menerusi pengenalan GWM WEY G9 Hi4 HEV.
Pengarah Urusan Operasi Komersial, GWM Malaysia, Stan Li Hao berkata, kejayaan GWM WEY G9 Hi4 PHEV mencerminkan keyakinan pelanggan Malaysia terhadap MPV premium.
"Dengan pengenalan varian HEV, kami membina kejayaan tersebut dengan menawarkan satu lagi cara untuk merasai pengalaman Kelas Pertama. HEV baharu ini menggabungkan prestasi, kecekapan dan kemudahan teknologi hibrid termaju kami dengan keselesaan serta keselamatan yang dijangkakan oleh pelanggan daripada WEY,” katanya.
Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan yang mencari fleksibiliti dan keselesaan kelas pertama tanpa perlu bergantung kepada infrastruktur pengecasan luaran.
Dikuasakan oleh teknologi termaju Hybrid Intelligent 4WD (Hi4) GWM, model ini menggabungkan enjin 2.0-liter turbo dengan transmisi pintar DHT dan motor elektrik berkembar.
Gabungan ini menghasilkan kuasa mencecah 358 PS dan tork 782 Nm untuk memberikan pengalaman pecutan yang lancar, bertenaga serta responsif di jalan raya.
Salah satu tarikan utama varian HEV ini ialah konsep "isi minyak dan teruskan perjalanan" (refuel and go) yang memberikan kebebasan mutlak kepada pemandu.
Pemilik tidak perlu risau tentang lokasi stesen pengecasan elektrik, menjadikannya kenderaan ideal untuk pemanduan harian di bandar mahupun pengembaraan jarak jauh bersama keluarga.
Mengekalkan falsafah First Class for All, kabin GWM WEY G9 Hi4 HEV dilengkapi tempat duduk kulit Nappa yang mewah serta sistem pembatalan bunyi aktif (active noise cancellation).
Selain ruang tiga baris yang luas, ia turut dimuatkan dengan sistem bantuan pemandu pintar dan perlindungan keselamatan menyeluruh untuk menjamin ketenangan sepanjang perjalanan.
Bagi rakyat Malaysia yang berminat, tempahan untuk GWM WEY G9 Hi4 HEV kini sudah dibuka di semua pengedar sah GWM seluruh negara.
Pengumuman rasmi mengenai harga jualan dan spesifikasi penuh dijangka akan diumkan dalam masa terdekat seiring dengan pelancaran rasminya.
