Seorang jurujual karpet warga Pakistan berusia 27 tahun direman tiga hari selepas disyaki memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berusia 15 tahun di Jalan Darul Aman Lagenda, Sungai Petani, semalam.
Kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 6 petang apabila mangsa, Muhammad Afiq Izzat Mohd Rosidi, 15, sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Mawar menghala ke Jalan Darul Aman Lagenda.
Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang bergerak lurus di lorong tengah tidak sempat mengelak apabila kenderaan jenis Perodua Alza dipandu suspek membelok secara tiba-tiba.
Pelanggaran kuat pada bahagian pintu hadapan kiri kereta berkenaan menyebabkan remaja berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan pemandu kenderaan terbabit yang merupakan jurujual karpet dan langsir tidak mengalami sebarang kecederaan.
Suspek warga asing itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu yang membelok ke kanan secara tiba-tiba di persimpangan sehingga memasuki laluan motosikal," katanya.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi tujuan proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
