Dua beranak maut selepas kereta Avanza yang dinaiki mereka dihempap kontena dalam kejadian di kawasan Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kedua-dua mangsa Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya Norfaieza, 24, tersepit di dalam kenderaan selama kira-kira tiga jam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Kejadian berlaku ketika sebuah treler sedang menjalankan kerja-kerja mengangkat kontena dari tepi jalan utama Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay untuk dimuatkan ke atas treler berkenaan.
Bagaimanapun, ketika proses itu, treler dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik bersama kontena berkenaan sebelum menghempap sebuah Toyota Avanza yang sedang melalui jalan tersebut.
