Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Honda City Hatchback Baharu untuk pasaran B-segmen tempatan. Ditawarkan dalam tiga varian utama dengan harga bermula dari RM95,900, model ini kini hadir dengan rekaan lebih segar, fungsi keselamatan standard Honda SENSING, serta rebat tunai RM4,000 sempena pelancarannya.
Nampaknya, Honda Malaysia kembali mengukuhkan kedudukannya dalam segmen B tempatan menerusi pelancaran Honda City Hatchback Baharu. Model ini membawa pembaharuan rekaan yang lebih sporty, teknologi keselamatan termaju, serta sistem konektiviti yang dipertingkatkan.
Langkah ini dilihat sebagai pemangkin utama momentum pasaran Syarikat selepas pengenalan varian sedan sebelum ini, khusus bagi memenuhi gaya hidup golongan muda dan profesional.
Honda Malaysia menawarkan tiga pilihan varian diperkemas bagi memenuhi kehendak dan bajet pemandu di Malaysia.
Berikut ialah senarai harga Honda City Hatchback (Atas Jalan Tanpa Insurans):
e:HEV RS: RM112,900
Petrol RS: RM100,900
V: RM95,900
Dari sudut luaran, hatchback ini kini kelihatan lebih tajam dan garang di atas jalan raya. Semua varian dilengkapi susunan lampu hadapan bersepadu merangkumi New Connected Headlights dan Bi-LED Headlights.
Bagi pilihan warna, empat rona menarik ditawarkan termasuk Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Stellar Diamond Pearl (varian Petrol), serta warna serba baharu iaitu Blazing Red Pearl.
Varian RS turut diserlahkan dengan rim aloi dua tona 16 inci berserta kemasan Berlina Black dan Dark Clear.
Kabin dalaman Honda City Hatchback Baharu menerima hiasan tengah corak 3D bersama Ambient Lighting bagi mencipta suasana lebih mewah. Varian RS pula menerima tempat duduk sukan bernadi dengan jahitan merah yang eksklusif.
Untuk kemudahan pemanduan, paparan Display Audio 10 inci yang lebih besar serta pengecas tanpa wayar (Wireless Charger) turut disediakan.
Ciri popular tempat duduk fleksibel ULTRA Seats kekal ditawarkan dengan 4 mod utama (Utility, Long, Tall, Refresh) untuk penyesuaian ruang muatan mengikut keperluan harian.
Pembeli diberi kebebasan memilih dua trenkuasa prestasi:
Enjin 1.5L DOHC i-VTEC untuk pemanduan harian yang responsif.
Enjin 1.5L e:HEV (Hibrid) yang menjana kuasa 109PS dan tork 253Nm.
Model hibrid Honda City Hatchback e:HEV RS didatangkan khas dengan Jaminan Bateri Hibrid selama 10 Tahun tanpa had perbatuan. Mana-mana varian juga dilindungi oleh Jaminan Pengeluar 8 Tahun tanpa had perbatuan.
Meningkatkan tahap keselamatan pemandu, ciri seperti Blind Spot Information, Honda LaneWatch, dan Honda SENSING kini hadir secara standard untuk semua varian. Varian RS turut ditambah dengan 360° Multi-View Camera System.
Sempena promosi pelancaran, pelanggan yang mendaftar kenderaan ini layak menerima rebat tunai RM4,000.
Selain itu, pemilik sedia ada yang membuat tukar beli (trade-in) menerusi program Honda Certified Used Car (HCUC) atau platform CARSOME berpeluang menikmati insentif tambahan bernilai sehingga RM2,000.
