Isuzu Malaysia membuktikan keunggulan penjimatan bahan api Isuzu D-MAX 2.2L serba baharu apabila berjaya melengkapkan perjalanan sejauh 1,605 kilometer dari Sandakan, Sabah ke Kuching, Sarawak hanya menggunakan satu tangki diesel menerusi cabaran D-MAX One Tank. One Nation.
Menerusi cabaran ini, dua unit trak pikap Isuzu D-MAX turbo diesel 2.2-liter baharu diuji dalam pelbagai keadaan bentuk muka bumi Malaysia Timur yang mencabar dan ekstrem.
Ujian ini melibatkan laluan berbukit serta pendakian sukar merentasi Banjaran Crocker di Gunung Kinabalu. Varian yang diuji adalah 4x2 AutoPlus dan 4x4 Automatic Premium.
Kedua-dua varian berjaya menamatkan perjalanan di Pusat 3S Jimisar Auto Niaga Isuzu, Kuching dengan baki bahan api yang masih banyak. Lebih mengagumkan, varian 4x2 AutoPlus berjaya melengkapkan pemanduan tanpa lampu amaran paras bahan api rendah menyala.
Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, menegaskan keunggulan Isuzu D-MAX paling terserlah apabila diuji pada laluan harian sebenar.
Cabaran “D-MAX One Tank. One Nation” merupakan platform ideal untuk mempamerkan keupayaan sebenar Isuzu D-MAX baharu dalam keadaan pemanduan sebenar di seluruh pelosok Malaysia.
“Memang mudah untuk mendakwa sesebuah kenderaan itu jimat bahan api dengan memandunya di lebuh raya yang rata dan tenang. Namun bagi kami, keunggulan Isuzu D- MAX paling terserlah apabila diuji dalam keadaan sebenar — di jalan dan laluan yang digunakan oleh pelanggan kami setiap hari.
"Ini bermakna, meredah jalan raya utama yang sempit dan sesak dengan lori, memasuki jalan yang sedang dalam pembinaan, malah merentasi Banjaran Crocker di Gunung Kinabalu — gunung tertinggi di Malaysia — dengan yakin, dan bukannya mengelak laluan seperti itu,” katanya.
Kejayaan ini disokong oleh enjin TD 2.2-liter serba baharu yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Enjin ini menghasilkan tork tinggi pada putaran rendah untuk memudahkan pendakian bukit curam.
Selain mengurangkan penggunaan bahan api, Isuzu D-MAX 2.2L turut menawarkan kos operasi yang lebih rendah, produktiviti tinggi, serta kadar cukai jalan yang lebih murah untuk pasaran semasa.]
