Tahukah anda, kadar cukai jalan EV atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) baharu di Malaysia secara purata ditetapkan 85 peratus lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), struktur kadar LKM yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu itu bertujuan mempercepatkan peralihan rakyat kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, MOT mendedahkan sebanyak 174,686 unit kenderaan elektrik telah berjaya didaftarkan sehingga Ogos lalu.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, segmen motokar persendirian mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 130,229 unit atau bersamaan 74.6 peratus. Peningkatan ini membuktikan penerimaan positif rakyat terhadap insentif dan struktur cukai yang lebih kompetitif.
Penetapan kadar LKM bagi kenderaan persendirian di negara ini dibezakan mengikut jenis sistem janakuasa yang digunakan. Bagi kereta petrol atau diesel konvensional, pengiraan adalah berdasarkan jumlah kapasiti enjin (cc).
Sebaliknya, bagi kenderaan sifar pelepasan karbon (ZEV), pengiraan kadar cukai adalah berdasarkan output kuasa motor elektrik (watt atau kW). Kadar bayaran tahunan ini akan meningkat secara berkadar terus selaras dengan kenaikan kuasa motor sesebuah kenderaan.
Penjelasan tersebut dibuat bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, mengenai kesediaan kerajaan untuk menstruktur semula kadar cukai jalan EV berdasarkan elemen segmen, prestij, dan prestasi kenderaan.
Menurut MOT, kajian menyeluruh mendapati semakin tinggi kuasa motor elektrik, semakin besar saiz, berat, serta semakin tinggi harga belian sesebuah kenderaan itu. Justeru, penggunaan kuasa motor sebagai asas pengiraan sudah memadai dan menyeluruh untuk mencerminkan segmen serta prestasi setiap model di pasaran.
SUMBER BERITA HARIAN
