Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan kerana beliau kini sedang bercuti. Anwar menyatakan perkara itu selepas bertemu Loke berhubung keputusannya sebelum meminta beliau bercuti terlebih dahulu, ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.
Menurut Anwar, beliau sudah mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Anthony Loke bagi mendengar penjelasan penuh berhubung keputusan tersebut. Susulan pertemuan itu, Perdana Menteri meminta pemimpin berkenaan untuk mengambil cuti buat sementara waktu.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti.
“Jumpa, dia bagi alasan yang kita tahu dan saya beritahu… cuti dulu,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Mengulas mengenai pengurusan tugas Menteri Pengangkutan sepanjang ketiadaan Anthony Loke, Anwar berkata, urusan pentadbiran kementerian itu masih boleh diteruskan mengikut peraturan sedia ada menerusi peranan Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata akan menanggung sementara tugas berkenaan.
SUMBER: Astro Awani
