Sistem JPJeBid baru-baru ini mencatatkan sejarah apabila bidaan nombor pendaftaran siri H berjaya mengutip jumlah keseluruhan sebanyak RM91.2 juta.
Lebih mengejutkan, nombor pendaftaran NPI H 1 sahaja telah merekodkan nilai bidaan tertinggi. Pemilik nombor tersebut memenanginya dengan tanda harga mencecah RM10,777,777.
Kutipan lumayan ini membuka ruang yang luas untuk pihak kerajaan menyalurkan semula dana tersebut kepada golongan sasar yang memerlukan.
Bagi memastikan hasil ini dimanfaatkan sepenuhnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menetapkan formula pengagihan yang seimbang. Separuh daripada kutipan akan disalurkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan untuk Kerajaan Persekutuan.
Manakala, baki separuh lagi akan dikekalkan oleh pihak MOT. Peruntukan ini dikhususkan bagi membiayai pelbagai inisiatif berorientasikan rakyat, terutamanya untuk menyokong pemandu pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa siri H pada asalnya merujuk kepada nombor pendaftaran teksi. Oleh itu, amat bertepatan jika hasil bidaan ini dikembalikan semula kepada komuniti tersebut.
Menerusi hantaran terbaru di laman Facebook rasminya, Anthony Loke memberi bayangan jelas mengenai perancangan pihak kementerian. Beliau mengesahkan dana tersebut akan digunakan secara spesifik untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara.
"Dengan hasil yang lumayan ini, MOT akan menggunakan wang berkenaan untuk membantu pemandu. Akan ada berita baik untuk mereka minggu depan," jelasnya.
