Arab Saudi secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan pertamanya, CEER EXOBOT, di King Abdullah Economic City, semalam
Langkah bersejarah pimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman ini bertujuan mempercepatkan transformasi ekonomi negara itu daripada pergantungan kepada minyak.
CEER EXOBOT ditawarkan dalam dua varian gaya badan, iaitu sedan elektrik dan SUV. Model ini merupakan kenderaan lengkap pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh Arab Saudi, bermula daripada reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, hinggalah pengeluaran tempatan.
Reka bentuk EXOBOT menampilkan identiti nasional dengan 32 elemen pencahayaan LED pada lampu depan dan belakang. Angka ini secara khusus melambangkan penubuhan negara Arab Saudi pada tahun 1932.
Dari segi kuasa, EV ini menggunakan seni bina elektrik 800V yang membolehkan pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dalam masa 30 minit. Ia dilengkapi tiga motor elektrik, sistem torque vectoring, gantungan udara, dan sistem stereng steer-by-wire.
Ceer turut mengetengahkan versi persediaan tiga motor yang lebih berkuasa dengan janaan sehingga 1,111 hp dan tork 1,500 Nm, yang menyaksikan masa pecutan 0-100 km/j berkurang kepada 2.1 saat (sedan) dan 2.4 saat (SUV).
Kelajuan maksimum yang dinyatakan masing-masing ialah 250 km/j dan 210 km/j bagi sedan dan SUV. Ciri-ciri berkaitan pemanduan yang lain merangkumi teknologi steer-by-wire, stereng roda belakang, torque vectoring, casis aktif, dan sistem ADAS sehingga Tahap 3.
Dari segi dimensi, sedan ini berukuran 5.26 meter panjang, 2.1 meter lebar, dan 1.43 meter tinggi. Manakala SUV pula berukuran 5.02 meter panjang, 2.1 meter lebar, dan 1.69 meter tinggi, dengan kedua-dua kenderaan mempunyai jarak roda (wheelbase) yang sama iaitu 3,200 mm.
Bagi menghadapi iklim padang pasir yang panas, CEER memperkenalkan teknologi "Halo Cooling". Sistem ini mencipta lapisan udara sejuk di antara kaca bumbung dan bahagian kepala penumpang untuk keselesaan optimum.
Majlis pelancaran berprestij ini diteruskan mengikut jadual walaupun ibu kota Riyadh berdepan serangan peluru berpandu dan dron oleh pemberontak Houthi dua hari sebelumnya. Pihak tentera pakatan berjaya memintas peluru berpandu balistik tersebut berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.
Serangan berasingan terhadap Talian Paip Timur-Barat turut menjejaskan laluan eksport minyak mentah di Laut Merah seminggu sebelum majlis. Walau bagaimanapun, keputusan meneruskan pelancaran ini menghantar isyarat jelas kepada dunia bahawa projek perindustrian negara tidak akan terhenti.
