G-Wagon dipandu Russell di tengah kesesakan lalu lintas menuju ke SIC, Sepang pagi tadi. Foto Threads @Sy4fnis
Kehadiran pelumba Formula 1 (F1) pasukan Mercedes, George Russell, mencuri perhatian ramai apabila beliau dilihat berada di dalam kesesakan jalan raya menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menariknya, pelumba antarabangsa itu tidak duduk di kerusi penumpang, sebaliknya memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda mewah berjenama Mercedes-Benz G-Class (G-Wagon).
Momen menarik tersebut dikongsi oleh seorang pengguna platform Threads dengan akaun Sy4fnis, yang kebetulan berada di kawasan berkenaan naik bas ulang-alik.
Menerusi hantaran tersebut, pemilik akaun berseloroh bahawa pelumba kelajuan tinggi itu turut tidak terlepas daripada mengalami kesukaran mengharungi kesesakan di Malaysia.
"Tengah sedap layan jem dalam shuttle, tiba-tiba ada escort kereta Merc. Rupa-rupanya George Russell weh, drive sendiri. Dia pun pening kepala stuck jem," tulisnya.
Hantaran berkenaan dengan cepat mendapat reaksi ramai pengguna media sosial yang teruja melihat aksi bersahaja pelumba dunia itu di jalan raya tempatan.
Meskipun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, kenderaan yang dipandu Russell dilihat mendapat kawalan dan kawalan pengiring (escort) bagi memastikan pergerakannya ke litar berjalan lancar.
Kehadiran bintang F1 ini di Malaysia sememangnya dinantikan oleh peminat sukan permotoran tempatan, dan kejadian ini menambah kehangatan suasana jelang acara di SIC.
